Sabtu, 6 Februari 2010

Kapitalis itu sangat hodoh, tapi salahkah kita belajar dari kapitalis?

Pada 1845, seorang ahli teori dan penganut faham liberalisme, Claude Frédéric Bastiat menulis tentang pengeluar lilin yang mendesak kerajaan mengharamkan cahaya matahari.

Petisyen yang dibentangkan dalam dewan perwakilan Perancis turut disokong oleh, antaranya, pengusaha sumbu, kayu api, tanglung dan damar.

Dalam Petition of the Candlemakers (Petisyen pembuat lilin) yang terkenal itu, Bastiat mengkritik sinis dasar perlindungan terhadap produk tempatan dengan alasan keterbukaan pasaran adalah sesuatu yang alami.

"Kami menuntut tuan-tuan meluluskan akta yang mewajibkan penutupan semua jendela, bidai, langsir, lubang hendap, cermin - ringkasnya semua bukaan yang menyebabkan cahaya masuk ke dalam rumah yang menjejaskan industri kami.

"Kami bangga mengatakan, kami telah menyumbang kepada negara. Oleh itu, negara ini mestilah bersyukur dengan tidak mengkhianati dan mengetepikan kami menghadapi pesaing yang tidak sepadan," fiksyen Bastiat dipetik.

Bastiat mati meninggalkan dunia pada 24 Disember 1850.